MELAKA 24 April - Lebih banyak syarikat swasta disaran untuk menceburi bidang teknologi hijau dalam usaha kerajaan negeri mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, bagi mencapai tujuan tersebut, tiga buah bangunan berkonsepkan teknologi hijau akan dibina di kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) termasuk sebuah restoran.
"Ketiga-tiga bangunan ini dibina di kawasan bandar hijau MPHTJ yang akan menggunakan lampu LED, sistem solar dan menggunakan barangan terpakai.
"Bangunan lain termasuk pejabat kerajaan juga akan dinaik taraf secara berperingkat-peringkat dengan menggantikan teknologi konvensional kepada teknologi yang lebih mesra alam sekitar", katanya.
Menurutnya, penggunaan teknologi hijau seperti penggunaan lampu LED dapat menjimatkan tenaga elektrik berbanding lampu biasa yang kini digunakan secara meluas.
"Melaka telah masuk ke dalam bidang teknologi hijau, iaitu salah satunya menggunakan lampu LED yang mampu mengurangkan kepanasan berbanding lampu biasa yang sekali gus dapat menjimatkan elektrik", katanya.
Tambah beliau, penggunaan lampu jenis itu juga akan diperluaskan penggunaannya dalam pengoperasian lampu isyarat, lampu pejabat dan bangunan-bangunan di negeri ini.
Sumber – Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan