Sejauh mana sistem penentu kedudukan satelit atau GPS dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia?
TEKNOLOGI yang ada pada peralatan GPS memberi manfaat kepada banyak pihak.
MUNGKIN kita biasa mendengar aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada sistem navigasi atau sistem keselamatan kenderaan. Namun apa yang dipaparkan pada kali ini tidak lain daripada kisah benar bagaimana aplikasi GPS membantu dalam usaha menyelamat. Terima kasih kepada teknologi penentu kedudukan satelit itu.
____________________________________________________________________________
Telefon GPS menyelamat pesakit transplan
Teknologi pengesanan GPS pada telefon bimbit telah digunakan bagi mengesan penjenayah. Ia turut membantu kakitangan kecemasan mencari mangsa kemalangan yang tidak dapat memberikan kedudukan mereka dengan tepat.
Baru-baru ini, pihak polis di sebuah pekan kecil di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) telah menggunakan teknologi GPS bagi mengesan seorang ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sedang menunggu organ transplan.
Tanpa GPS, kanak-kanak tersebut tentunya terlepas peluang untuk mendapatkan pemindahan jantung daripada pendermanya. Polis terpaksa menggunakan GPS yang terdapat pada telefon bimbit, setelah ibunya tidak menjawab panggilan telefon dan pihak polis pula gagal menemui kanak-kanak tersebut.
____________________________________________________________________________
Menyelamat pendaki K2
Pada Ogos 2001, seorang pendaki gunung telah diselamatkan sewaktu mendaki gunung K2 di Pakistan. Setelah tiga hari bertarung nyawa akibat terdedah kepada cuaca pergunungan yang ekstrem, ketua pendakian tersebut, Wilco Van Rooijen berjaya ditemui oleh anggota penyelamat.
Sistem GPS Thuraya yang digunakan membenarkannya menghantar koordinat kepada rakan sependakiannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Tanpa sistem itu, dia mungkin sudah mati akibat kesejukan.
SISTEM GPS digunakan dengan meluas dalam usaha menyelamat.
____________________________________________________________________________
Pengembaraan yang nyaris membawa padah
Seorang pengembara dari Romania yang berpengalaman luas dan pernah menakluk Amerika Selatan dan Asia nyaris menerima padah pada Januari tahun lalu apabila tersesat selama enam hari ketika berjalan kaki sejauh 45 kilometer berdekatan Uluru di Australia.
Dia keputusan bekalan makanan dan minuman pada hari ketiga dan terpaksa berusaha sendiri mencari jalan pulang. Dia akhirnya menemui kawasan yang mempunyai liputan telefon bimbit dan berjaya meminta bantuan penyelamat melalui mesej.
Mesej tersebut dihantar kepada ahli keluarganya di Romania bersama koordinat GPS yang diperoleh daripada unit GPS TomTom yang dibawanya bersama. Tanpa kedudukan yang tepat menerusi GPS, usaha menyelamat pastinya menjadi lebih rumit.
TELEFON bimbit kini turut memasukkan sistem GPS di dalam perantinya bagi pelbagai kegunaan terutama ketika kecemasan.
____________________________________________________________________________
GPS selamat mangsa patukan ular
Aktiviti perkhemahan secara bersendiri oleh seorang lelaki berusia 27 tahun hampir menjadi tragedi apabila dia dipatuk seekor ular berbisa di Tharwa, Australia. Kedudukan tapak perkhemahan yang agak jauh dari jalan utama menyebabkannya sukar untuk mendapatkan bantuan.
Mujur dia berjaya menenangkan diri selepas dipatuk dan terus meminta bantuan dan memberi panduan arah kedudukannya berdasarkan unit GPS yang dibawanya.
SESAT dalam bentuk muka bumi ekstrem seperti ini boleh mengundang maut. Namun sistem GPS boleh membantu seseorang yang tersesat menghubungi keluarga bagi diselamatkan.
Keadaan pasti menjadi lebih sukar tanpa GPS kerana jika tidak mengetahui kedudukan sebenar, bantuan menyelamat pasti tidak dapat dihantar dengan pantas.
Apatah lagi dalam kes gigitan binatang berbisa, pasukan penyelamat perlu tiba secepat mungkin bagi mengelakkan mangsa tidak sedarkan diri atau lebih teruk maut kerana bisa gigitan tersebar ke seluruh tubuh mangsa.
Sumber - Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan