Selasa, Jun 07, 2011

Fungsi alat sonar kesan ikan, lubuk

SOALAN:

Apa itu sonar? Bagaimana penggunaannya dan perlukah untuk pemancing?

PEMANCING MUARA, Klang.

JAWAPAN:


Perkataan sonar berasal daripada perkataan ‘SOund, NAvigation, Ranging’ (bunyi, panduan dan jarak). Ini juga membawa erti bunyi daripada alat pengesan melalui jarak kedalaman air berpandukan kepada julat navigasi panduan yang mampu dijanakan oleh alat itu. Alat sonar ini terdiri dari pemancar (transmiter), transduser, alat penerima dan skrin paparan.

Dari segi teori, signal elektrik voltan rendah dari transmiter akan ditukar kepada gelombang bunyi oleh tranduser dan dipancarkan ke dalam air. Gelombang bunyi akan terpantul balik ke permukaan apabila mengenai objek dalam air. Sekali lagi gelombang bunyi ini akan ditukar kepada signal elektrik oleh alat penerima seterusnya dihantar kepada skrin paparan sama ada dalam bentuk hitam putih atau warna.

Kelajuan bunyi yang dipancarkan ke dalam air adalah tetap pada kadar 4,800 kaki sesaat. Selang masa berkenaan dapat memberi gambaran dan butiran kedalaman serta objek di dalam air. Proses ini akan berulang kali dalam setiap saat.

Seperti disebutkan tadi, sonar sentiasa menghantar dan menerima isyarat berulang kali dalam setiap saat. Ini kemudian akan memberi gambaran secara terus menerus pada skrin selagi pancaran bunyi dan signal elektrik tidak terganggu. Apa saja yang menghalang gelombang bunyi di dalam air akan dipaparkan pada skrin termasuk kedalaman air semasa. Objek yang menghalang gelombang bunyi di pertengahan air sering diertikan sebagai ikan atau mungkin sampah dan sebagainya.

Sonar berprestasi tinggi, merangkumi empat elemen penting iaitu pemancar berkuasa tinggi, transduser yang cekap, alat penerima sensitif dan skrin paparan beresolusi tinggi.

Contoh paparan skrin pada sonar

A: Surface Clutter - Berada pada atas skrin dari permukaan hingga beberapa kaki di bawah air. Clutter boleh disebabkan buih air daripada gelombang dan kipas bot, alga laut, plankton mahupun kumpulan anak ikan kecil.

B: Grayline - Ia sering menunjukkan jenis tanah di dasar air. Jika kawasan berbatu atau tanah keras grayline (garisan kelabu) akan menjadi tebal manakala untuk tanah berlumpur, garisan yang dipaparkan adalah nipis.

C: Struktur - Ia boleh diibaratkan sebagai tukun, reba atau objek yang berada di atas permukaan dasar. Tempat yang sesuai untuk memancing kerana paparan begini menandakan kawasan habitat dan tumpuan ikan.

D: Ikan - Dalam contoh skrin ini paparan ikan dipamerkan dalam bentuk seperti bulan sabit. Semakin besar dan banyak bulan sabit ini menandakan ikan berada dalam kumpulan besar dan banyak. Paparan ikan lebih tertumpu di atas sedikit dari permukaan dasar dan berdekatan dengan reba atau struktur pada skrin. Jenis yang terbaru banyak memaparkan gambar ikan.

E : Paparan lain - Oleh kerana sonar sensitif apa saja yang mengganggu gelombang bunyi dipaparkan pada skrin maka paparan elemen lain pada skrin ialah pergerakan tali sauh jatuh ke dasar.

Sumber – Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan