Selasa, Jun 07, 2011

LED hasilkan cahaya tak panas, memiliki 16 juta warna berlainan, mampu jimat 75 peratus tenaga.

LAMAN yang menarik bukan saja cantik dipandang pada waktu siang tetapi seharusnya turut berfungsi pada waktu malam. Sehubungan itu, pencahayaan sangat penting dan perlu dititik beratkan dalam menghias laman.

Selain mengubah titik tumpu laman, pencahayaan memberikan dimensi berlainan sesebuah laman kediaman. Bermakna pencahayaan membolehkan satu laman bertukar menjadi dua pada waktu yang berbeza.

Terkini, peminat seni laman dan landskap menggunakan Diod Pancaran Cahaya (LED) untuk menghias laman kerana ia menghasilkan 16 juta warna berlainan dan kesan cahaya yang lebih cantik berbanding lampu biasa.

Teknologi LED adalah cara pencahayaan yang tidak menggunakan mentol biasa, sebaliknya menggunakan berjuta-juta plat cahaya yang memberi kesan dinamik dan tidak dapat diperoleh daripada pencahayaan konvensional.

LED boleh diserasikan dengan mudah di dalam perabot, dinding, siling malah di mana-mana saja yang diinginkan kerana sifat fizikalnya yang `tersembunyi' berbanding penggunaan mentol biasa.

Malah ia lebih mudah diprogramkan bagi penggunaan bidang kreatif dan penggunaan LED digemari arkitek kerana keajaiban pencahayaan boleh dihasilkan tanpa perlu melihat mentol bergantungan secara fizikal seperti kebanyakan sistem pencahayaan kini.

LED dengan kuasa solar pula memudahkan pemilik laman mengubah kedudukan lampu dan pencahayaan mengikut kreativiti masing-masing kerana lampu ini tidak memerlukan pendawaian elektrik.

Kreativiti pemilik laman akan terserlah dengan penggunaan lampu LED kerana ia boleh diubah mengikut cita rasa dan suasana yang dikehendaki.

Lampu ini juga boleh diletakkan di celah-celah batu dalam kolam dan pancuran air, selain digantung di sekitar pokok hiasan serta kawasan pemijak dan laluan kaki di laman.

Bagi menyerlahkan lagi laman, gabungan lampu biasa dengan LED akan menampilkan kesan lebih menyerlah malah laman kediaman akan lebih menarik berbanding kediaman lagi di kejiranan.

Menariknya mengenai LED, penggunaannya kini semakin diperluas dan teknologinya dipertingkatkan lagi, malah LED menghasilkan cahaya tidak panas dan paling penting mempunyai ciri menjimatkan kos kerana mampu bertahan kira-kira 50,000 jam berbanding 1,000 jam bagi mentol biasa dan mampu menjimatkan 75 peratus tenaga.

Harganya yang semakin murah kerana permintaan yang bertambah menjadikan LED pencahayaan mampu milik. Lebih menarik lagi, ia juga salah satu produk yang boleh dihijaukan inovasi terkini apabila ia dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan fluorescent (CFL) dan mentol tradisional lain di pasaran.

Lampu LED mampu menjimatkan tenaga elektrik kerana hanya menghasilkan tiga watt tenaga selain mampu mengurangkan pemanasan global yang menjadi isu hangat diperbahaskan.

Dari aspek mesra alam, lampu LED menepati kehendak alam sekitar kerana sumber pembuatannya tidak mengandungi raksa dan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Lampu LED sangat bersesuaian sama ada untuk laman rumah atau dalam kediaman, malah jika digunakan di dinding, ia memberi warna mengikut kesesuaian dan boleh ditukar bila-bila masa.

Contohnya, pengguna tidak lagi perlu menukar cat jika mahu warna yang baru tapi cukup dengan menukar lampu LED memberikan kepelbagaian warna dikehendaki di dinding rumah atau pejabat.

Kestabilan lampu LED membolehkannya tahan lebih lama yang turut mengurangkan kos penyelenggaraan kerana pengguna tidak lagi perlu kerap menukar mentol malah ia 10 kali lebih cerah.

Saiz LED lebih kecil berbanding lampu tradisional dan ini membolehkan reka bentuk lampu dimanfaatkan dengan dekorasi laman yang lebih menarik, sesuai dengan kemahuan pemilik rumah.

Langkah sebelum laman dihias LED;

• Buat lakaran laman seperti wakaf, laluan pejalan kaki atau beranda rumah yang perlu dihias dengan LED. Pastikan kedudukan pokok hiasan, aksesori laman dalam lakaran berkenaan.

• Tetapkan kawasan yang mahu diterangkan atau diletakkan sumber pencahayaan. Pastikan setiap landskap kejur dan lembut diberikan perhatian.

• Biasanya LED boleh didapati dalam dua kumpulan utama iaitu menggunakan kuasa solar dan lampu berkuasa rendah. Pilih salah satu kumpulan itu untuk menghias laman kediaman. Tentukan juga kedudukan lampu menggunakan kuasa elektrik.

• Oleh kerana lampu LED untuk landskap boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan warna, pilihlah mengikut kesesuaian ruang. Boleh padankan dengan penggunaan lampu kolam, tanglung dan terendak lampu yang pelbagai di pasaran.

• Satu yang penting mengenai pencahayaan laman adalah dengan memastikan lampu yang digunakan sesuai dengan konsep laman kediaman. Contohnya, jika laman nusantara dan Bali sudah pasti pencahayaan malap dan penuh misteri diketengahkan.

Sejarah LED

• Dicipta pereka Russia bernama Oleg Vladimirovich Losev, pada 1920-an.

• Diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 1960-an. Teknologi LED digunakan secara kecil-kecilan kerana kos bergandanya berbanding sistem pencahayaan sedia ada pada waktu itu. Bagaimanapun, keadaan berubah kira-kira 10 tahun kemudian apabila semakin ramai mengetahui kebaikan dan kecanggihan teknologi ini.

• Tidak menggunakan mentol biasa, sebaliknya menggunakan berjuta-juta plat cahaya yang memberi kesan dinamik dan tidak dapat diperoleh daripada pencahayaan konvensional.

• Menghasilkan cahaya tidak panas dan paling penting mempunyai ciri menjimatkan kos kerana mampu bertahan kira-kira 50,000 jam berbanding 1,000 jam bagi mentol biasa dan mampu menjimatkan 75 peratus tenaga.

• Memberi contoh di Amerika Syarikat saja, penggunaan teknologi baru dalam pencahayaan itu menjimatkan US18 bilion setiap tahun dan angka ini cukup besar selain penjimatan tenaga yang pastinya memberi kesan besar kepada alam sekitar.

Sumber – Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan