Rabu, Jun 08, 2011

Ketahui kedudukan anak anda sepanjang masa - Pengesan GPS kanak-kanak

MASALAH kanak-kanak hilang sama ada diculik penjenayah atau tersesat ketika berada di jalan raya, pasar raya atau ketika berkhemah di dalam hutan merupakan fenomena yang menghantui para ibu bapa di seluruh dunia.

Di negara kita, isu kanak-kanak menjadi mangsa jenayah sama ada dilarikan, dirogol atau dibunuh menjadi isu besar masa kini selepas peristiwa yang menyayat hati menimpa Allahyarham Nurul Huda Ghani, 10 tahun, yang dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki di Johor pada 17 Januari lalu.

Selain daripada terdedah menjadi mangsa rogol dan bunuh, masalah kehilangan kanak-kanak juga merupakan suatu mimpi ngeri yang tidak sanggup dihadapi oleh mana-mana ibu bapa di dunia ini.

Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja cara untuk melindungi anak kesayangan mereka daripada disentuh oleh mana-mana pihak yang tidak diingini. Bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk mengupah penjaga keselamatan khas bagi mengikuti setiap pergerakan anak-anak.

Apabila kanak-kanak diculik, tempoh antara dua dan tiga jam pertama sangat penting bagi memastikan kedudukan kanak-kanak itu bagi membolehkan kita mendapatkan bantuan mengesannya semula.

Melalui penggunaan teknologi berasaskan GPS (sistem penentu kedudukan global), ibu bapa boleh mengetahui lokasi anak mereka berada apabila berada di luar rumah,
Perkembangan teknologi ini dijangka mampu mengurangkan sedikit kerisauan ibu bapa jika perkhidmatan mengesan kanak-kanak melalui GPS (sistem penentu kedudukan global) diperkenalkan di negara ini.

Kebanyakan negara Barat telah memperkenalkan perkhidmatan mengesan kanak-kanak melalui GPS itu. Secara asasnya, perkhidmatan tidak banyak berbeza dengan teknologi mengesan kereta yang hilang melalui satelit yang banyak digunakan di negara ini.

Pengguna yang menggunakan perkhidmatan GPS untuk kanak-kanak tersebut boleh mengetahui kedudukan anak-anak mereka menggunakan teknologi GPS berasaskan satelit tersebut dengan hanya mengakses Internet atau membuat panggilan telefon ke pusat perkhidmatan.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut perlu dilengkapi dengan alat GPS sama ada yang dipasang pada pakaian atau yang dipasang pada beg galas untuk membolehkan satelit mengesan kedudukan mereka.

Penggunaan teknologi satelit untuk mengesan peranti GPS juga kadangkala boleh menghadapi masalah mengesannya terutama apabila kanak-kanak itu berada di dalam kawasan yang terlindung.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kita telah berusaha memastikan yang anak-anak kita telah mempunyai mekanisme yang membantu meningkatkan keselamatannya apabila berada di jalanan.

Sumber - Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan