Selasa, Jun 07, 2011

Soal Jawab Pemansuhan Pengeluaran lampu Pijar

Tarikh: Khamis, 29 April 2010

Soalan:

Minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan sama ada kepentingan pengguna akan terjamin dengan usaha Kementerian menghentikan pengeluaran lampu pijar pada tahun 2014, bagi menggalakkan penggunaan lampu yang cekap tenaga seperti compact fluorescent lamp (CFL), lampu fluorescent tube dan lampu light emitting diode (LED), yang mana harga jualan pasarannya adalah lebih tinggi

Jawapan:

Tuan Yang Dipertua,

Kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga sedang merangka pelan tindakan untuk pemberhentian penggunaan lampu pijar di negara ini menjelang tahun 2014. Program tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan lampu yang lebih cekap tenaga demi menjimatkan elektrik. Pelaksanaan dasar ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan kadar intensiti GHG per kapita sebanyak 40% berbanding dengan kadar pada tahun 2005 menjelang tahun 2020.

Pada masa yang sama, pengguna akan dididik untuk menggantikan lampu pijar dengan jenis-jenis lampu cekap tenaga seperti lampu compact fluorescent lamp (CFL) atau light emitting diode (LED). Lampu CFL mempunyai jangka hayat yang lebih tinggi iaitu antara 6,000 hingga 8,000 jam, di mana ianya adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding dengan hayat lampu pijar yang hanyalah sekitar 1,000 jam.

Manakala, lampu LED mempunyai jangka hayat 10 kali ganda lebih tinggi berbanding jangka hayat lampu CFL iaitu sebanyak 80,000 jam.

Faedah utama lampu CFL adalah penggunaan tenaga yang lebih rendah berbanding dengan lampu pijar. Sebagai contoh, pengguna boleh menukar lampu pijar berkuasa 60 Watt dengan lampu CFL berkuasa 11 Watt. Dengan mengambil kira penggunaan purata bagi lampu adalah 4 jam sehari, tempoh bayaran balik bagi pelaburan awal yang dikeluarkan oleh pengguna adalah dianggarkan kurang daripada 8 bulan. Walaupun harga lampu LED lebih mahal berbanding lampu CFL dan lampu pijar, tetapi lampu jenis LED dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan penggantian dalam tempoh yang lama di samping menjimatkan tenaga. Dengan ini kepentingan pengguna akan terjaga kerana bil elektrik pengguna akan berkurang yang seterusnya menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Dalam melaksanakan pelan tindakan untuk mempromosi penggunaan lampu cekap tenaga, pihak Kerajaan dengan kerjasama pengeluar lampu akan mengadakan siri promosi dan penyebaran maklumat mengenai kebaikan menggunakan lampu cekap tenaga kepada orang ramai. Dengan promosi tersebut, permintaan terhadap lampu cekap tenaga di pasaran akan meningkat dan dijangka menurunkan harga kepada kadar yang lebih berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua rakyat.

Sumber - www.kettha.gov.my

0 ulasan:

Catat Ulasan