Selasa, Jun 21, 2011

Tenaga Suria Sebagai Tenaga Alternatif



Tenaga suria merupakan salah satu tenaga alternatif yang boleh diperbaharui dan tidak akan kehabisan. Tenaga suria juga dikenali sebagai tenaga solar kerana punca tenaga utama bagi tenaga suria adalah daripada cahaya matahari. Tanpa tenaga matahari, bumi akan mati. Sumber tenaga suria dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam kerana tenaga ini diperoleh secara semulajadi daripada sinaran suria dan tenaga ini juga tidak terhad serta berterusan penggunaanya. Matahari dikatakan sebagai pusat tenaga kerana hampir 99.9% tenaga berpunca daripada sinaran cahaya matahari yang sampai ke permukaan bumi. Purata keseluruhan tenaga suria yang sampai ke permukaaan bumi kira-kira sebanyak 1353 kw per meter persegi. ( Jauhri P. K, 2005)

Secara ringkasnya, pengunaan tenaga suria ini bermula sejak ratusan tahun yang lampau. Menurut sejarah, pada tahun 212 Sebelum Masihi, Archimedes telah berjaya mengalahkan angkatan perang dengan menggunakan kaedah penumpuan tenaga suria. Secara berperingkat-peringkat peningkatan pengunaan tenaga suria berkembang melalui penemuan kaedah yang lebih saintifik dan kegunaan tenaga suria menjadi lebih efisyen. Kini, aplikasi daripada tenaga suria telah banyak digunakan di kebanyakan negara-negara di dunia ini bagi mengatasi masalah kekurangan sumber tenaga utama. (Murtedza Mohamed, 1991)

Bagi mendapatkan tenaga suria sebagai sumber tenaga pelbagai kaedah telah digunakan. Antaranya ialah kaedah plat pengumpul mendatar. Pengumpul jenis ini popular digunakan bagi pemanasan ruang yang besar-besaran ataupun secara kecil- kecilan. Pengumpul penumpu pula merupakan satu teknologi yang akan menumpukan sinaran suria bagi meningkatkan fluks sinaran tersebut. Di negara-negara membangun aplikasi kaedah ini masih kurang digunakan disebabkan oleh kos pemasangan yang agak tinggi walaupan kaedah ini sesuai digunakan di kebanyakan negara-negara yang sedang membangun seperti negara Malaysia.

Potensi pengunaan tenaga suria sebagai pembekal sumber tenaga kepada negara- negara yang membangun memperlihatkan satu jalan yang agak cerah. Hal ini adalah kerana, kebanyakan negara-negara yang sedang membangun ini berada dalam lingkungan 0oC – 23oC di mana kawasan ini terletak dalam kawasan yang mendapat cahaya matahari paling tinggi sepanjang tahun. Sebagai contohnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang membangun dan terletak di kawasan khatulistiwa yang mampu menjana tenaga suria sebagai sumber tenaga alternatif. Malaysia mendapat sebanyak 10 jam tenaga suria setiap hari dan masa matahari tegak diatas kepala merupakan satu masa yang memancarkan tenaga suria secara maksimum. Pada masa ini, tenaga suria boleh dijana secara maksimum melalui penggunaan kaedah pengumpul penumpu.

Dengan menggunakan kaedah ini, ia dapat menghasilkan suhu yang sangat tinggi untuk menghasilkan tenaga. Pantai barat semenanjung Malaysia dan pulau-pulau kecil di pantai barat semenanjung mempunyai potensi yang amat luas untuk menjana tenaga solar kerana kawasan ini mendapat sinaran matahari sepanjang tahun. Hal ini adalah kerana, kawasan ini tidak mengalami musim tengkujuh seperti yang berlaku di kawasan pantai timur semenanjung yang akan mengalami musim tengkujuh sekali setiap tahun. Dengan adanya kitaran musim tengkujuh ini, kawasan ini tidak sesuai untuk dijanakan tenaga suria.

Di samping itu juga, India juga merupakan satu contoh negara yang membangun yang mempunyai potensi besar untuk menjana tenaga suria. Menurut Jauhri (2005), India mampu untuk menjana tenaga suria sebanyak 5000 trillion kwh per setahun. Hal ini adalah kerana, negara India terletak dalam kawasan yang mendapat sinaran tenaga suria yang tinggi sepanjang tahun dan negara India juga dapat menjana tenaga suria sebanyak 5 ± 7 kw per jam sehari.

Kini telah banyak penyelidikan dilakukan untuk memanipulasikan tenaga suria ini secara maksimum di India. Lebih daripada 100 buah syarikat tempatan telah terlibat dalam sektor pembuatan yang mengadaptasikan proses tenaga solar dalam kehidupan seharian seperti dapur solar dan pemanas air solar.

Masalah untuk memajukan tenaga altenatif

Tahap teknologi rendah

Teknologi yang tinggi diperlukan untuk membangun dan menjana tenaga altenatif dengan giat. Tahap teknologi di negara-negara membangun masih rendah dan belum begitu maju. Hal ini menyukarkan negara tersebut untuk memajukan tenaga ini. Namun begitu, mereka boleh mendapatkan khidmat teknologi dari negara luar seperti Jepun. Hal ini memerlukan negara membangun ini mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan teknologi tersebut. Secara tidak langsung, hal ini menyukarkan negara tersebut mendapatkan teknologi tersebut dalam kuantiti yang agak banyak. Hal ini akan menyebabkan wujudnya had untuk memajukan tenaga alternatif.

Modal besar

Tenaga alternatif yang ingin dimajukan juga mempunyai halangan seperti memerlukan modal yang besar. Hal ini menyukarkan negara membangun untuk memajukan tenaga alternatif kerana kewangan mereka terhad. Modal yang besar diperlukan untuk membeli teknologi dan kepakaran dari luar. Secara tidak langsung, kewangan yang terhad menyebabkan operasi untuk memajukan tenaga alternatif juga adalah terhad. Hal ini juga menyebabkan berlakunya gangguan ketika menjana tenaga tersebut kerana terdapat perkongsian teknologi antara kawasan janaan tenaga alternatif yang berbeza. Dalam hal ini, pembaziran masa dan kos penghantaran yang tinggi akan berlaku.

Kekurangan buruh mahir

Kebanyakan negara membangun mendapatkan teknologi dari luar untuk memajukan tenaga alternatif ini. Oleh sebab itu, mereka memerlukan kepakaran dari luar untuk mengendalikan teknologi atau mesin yang berkaitan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh masalah kekurangan buruh yang terlatih atau mahir dalam mengendalikan teknologi tersebut. Dalam hal ini, negara membangun terpaksa mengimport kepakaran dari luar bagi membolehkan teknologi digerakkan untuk memajukan tenaga alternatif. Secara tidak langsung, hal ini akan meningkatkan kos untuk menampung kegiatan ini. Bukan itu sahaja, buruh yang sedia ada pula hanya melakukan kerja bawahan tanpa mendapat latihan untuk mengendalikan teknologi tersebut kerana kepercayaan untuk mengendalikan mesin diserahkan sepenuhnya kepada buruh dari luar. Hal ini akan menyebabkan pengeluaran yang berlaku adalah tidak menguntungkan kerana negara tersebut terpaksa menampung kos untuk pembelian teknologi dan kepakaran dari luar.

Saiz pasaran yang kecil

Saiz pasaran yang kecil untuk tenaga alternatif juga menyukarkan tenaga tersebut untuk dimajukan dan dikomersialkan. Hal ini menyebabkan keuntungan bagi pengeluarannya adalah sedikit. Hal ini berbeza dengan tenaga konvensional yang mendatangkan keuntungan yang banyak kerana telah berjaya dikomersialkan. Secara tidak langsung, tenaga alternatif ini akan menyukarkan negara membangun untuk mendapatkan keuntungan dan menampung penduduk yang banyak dengan pengeluarannya.

Kebaikan tenaga keterbaharuaan kepada negara-negara sedang membangun

Mesra alam dan tidak kehabisan

Salah satu kebaikan tenaga alternatif ini adalah mesra alam. Hal ini adalah kerana kadar pencemaran yang berlaku adalah rendah berbanding dengan pengunaan sumber tenaga yang lain. Selain daripada dapat menjana tenaga dengan lebih efektif sifat tenaga alternatif yang mesra alam ini mendorong banyak negara untuk memproses tenaga alternatif sebagai sumber tenaga utama negara mereka.

Jalan keluar daripada masalah krisis tenaga dunia

Tenaga alternatif merupakan salah satu jalan keluar daripada masalah krisis tenaga dunia. Hal ini adalah kerana, dengan menjana tenaga alternatif negara yang sedang membangun tidak akan mengalami masalah kekurangan bahan api asli lagi untuk menjana tenaga elektrik. Hal ini adalah kerana, dunia sekarang sedang mengalami masalah krisis tenaga dunia ekoran daripada bahan bakar utama iaitu petroleum dunia semakin berkurangan dan bagi negara-negara yang bergantung sepenuhnya dengan bahan bakar berkenaan terpaksa mencari bahan bakar lain untuk menjana tenaga elektrik di negara mereka.

Peluang untuk menjana tenaga alternatif dalam kalangan negara yang sedang membangun adalah tinggi berbanding dengan negara maju. Tetapi ekoran daripada teknologi dan kepakaran yang terhad negara sedang membangun terpaksa melepaskan peluang ini terbiar begitu saja. Namun kini, pelbagai pihak telah tampil untuk membuat penyelidikan dan inovasi dalam bidang tenaga alternatif ini kerana memandangkan negara yang sedang membangun ini mempunyai pelbagai khazanah mengenai tenaga altenatif bagi menangani masalah krisis tenaga yang sedang melanda dunia sekarang ini.

Tenaga alternatif ini merupakan jalan terbaik untuk menangani masalah krisis tenaga dunia. Kenapa dahulu masyarakat hanya memandang sepi terhadap potensi tenaga altenatif ini? Persoalan ini payah untuk dijelaskan tetapi kini ekoran daripada masalah krisis tenaga yang sedang melanda seluruh dunia, masyarakat mula berlumba-lumba uantuk menjana tenaga alternatif bagi mengatasi masalah ini.

Tidak ketinggalan juga adalah dalam kalangan negara yang sedang membangun kini sedang berusaha untuk mejana tenaga alternatif ini walaupun hanya separuh keperluan tenaga negara yang mampu ditampung oleh pengeluaran tenaga alternatif berkenaan. Sememangnya tidak dinafikan bahawa dalam kalangan negara-negara sedang membangun ini mempunyai potensi yang besar untuk menjana tenaga tersebut.

Sememangnya negara-negara yang sedang membangun ini perlu untuk bergiat cergas dan mempunyai inovasi yang tinggi dalam bidang teknologi bagi menjana tenaga alternatif sebagai tenaga untama bagi negara mereka. Oleh sebab itu, pertukaran tenaga pengajar dan teknologi dari negara maju adalah penting bagi memajukan sektor tenaga alternatif di negara- negara yang sedang membangun agar krisis tenaga ini dapat diatasi dengan bijaksana.

Sumber - Siti Zubaidah binti Ibrahim & Ruzaini binti Abdul Kadir (UPSI)

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak faam

azranx berkata...

Sebuah artikel ilmiah yang berkualiti.
Tahniah.

Bujang Terlajak berkata...

Universiti ramai org educated tapi bangang...xpandai buat sendiri komersialkan produk...hasilnya ornag luar yang dapat teknologi...universiti perlu proaktif...buat kilang sendiri dan hasilkan produk sendiri tanpa pihak ketiga...dapat untung...bagi sama rata antara pensyarah yang pegang paten tu dgn pihak universiti

ramy berkata...

nota yg sangat bagus
good
keep it up

Unknown berkata...

Betul apa kata anda.
Lagi pula, silibus semua mata pelajaran yg dipelajari tidak boleh digunapakai dlm urusan keduniaan.
Ini adalah krn silibus matapelajaran diatur dan diambil drpd negara barat /kafir, yg mana tlh diketahui mereka ini tidak pernah akan senang dg umat Islam & tidak akan membenarkan umat Islam maju krn mereka takut dg bayang2 sendiri.

JoulseyKoala berkata...

Tahniah MotherGadgetS - Siti Zubaidah binti Ibrahim & Ruzaini binti Abdul Kadir (UPSI)

Catat Ulasan