Rabu, Jun 08, 2011

Penentu arah GPS

GPS membolehkan longitud, magnitud dan altitud dikenal pasti hampir dalam apa juga keadaan, 24 jam sehari di muka bumi.

GPS atau Global Positioning System merupakan sistem yang mampu memberikan kita panduan arah dan mengetahui kedudukan semasa kita. Jika sebelum ini kompas dan hamparan peta kertas menjadi panduan pelayar dan pengembara, kini teknologi yang sebelum ini hanya terhad kepada pihak tentera turut boleh didapati oleh orang awam.

Hari ini, teknologi GPS digunakan secara meluas untuk dua tujuan iaitu sebagai penunjuk arah ketika memandu dan sebagai ciri tambahan sistem keselamatan kenderaan bagi memantau kedudukan sesebuah kenderaan.

Dengan bantuan 24 buah satelit yang memancarkan isyarat kepada unit penerima GPS, unit itu akan memberitahu kedudukan semasa kita berdasarkan rujukan silang dengan satelit yang mengelilingi bumi. Ia membolehkan longitud, magnitud dan altitud dikenal pasti hampir dalam apa juga keadaan, 24 jam sehari di muka bumi.

Unit navigasi GPS membolehkan kita memandu ke destinasi yang ingin dituju tanpa perlu membuka peta sesebuah kawasan secara manual. Ia akan memaparkan peta elektronik secara automatik pada paparan LCD di bahagian hadapan kokpit pemandu.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memasukkan maklumat destinasi dengan menyentuh butang arahan pada paparan skrin sesentuh dan dalam masa beberapa saat, ia akan memberikan panduan ke lokasi yang dikehendaki. Sistem navigasi GPS juga boleh memberikan alternatif laluan yang ingin digunakan berdasarkan jarak terhampir, tidak melalui kawasan bertol dan sebagainya, bergantung kepada jenama sistem yang digunakan.

Garmin, Magellan, Hewlett-Packard dan Packard Bell merupakan antara jenama unit penerima GPS yang terdapat di pasaran. Kebanyakan unit itu memerlukan kita untuk membeli lesen peta bagi menggunakan peta keluaran mereka, selain mendapatkan sokongan seperti kemudahan memuat turun, kemas kini perisian dan sebagainya.

Namun, bagi mereka yang inginkan fleksibiliti dan sedikit cabaran, mereka boleh memilih untuk menggunakan peta yang boleh diperoleh secara percuma di Internet.
Bagi pengguna di negara ini, laman web seperti Malsingmaps.com dan Malfreemaps.com menyediakan kemudahan memuat turun peta secara percuma.

Peta dan rujukan tempat menarik atau Point of Interest (POI) yang terdapat di kedua-dua laman web itu diusahakan secara berkelompok dengan kerjasama pengguna. Pengguna juga boleh memberikan sumbangan dengan memberikan POI terkini di tempat mereka. POI merujuk kepada tempat-tempat seperti restoran, kompleks beli-belah, stesen minyak dan sebagainya.

Sekiranya terdapat tempat-tempat baru, pengguna boleh membantu mengemaskinikan pangkalan data POI sekali gus membolehkan pengguna lain mendapatkan POI yang terkini mengenai tempat tersebut. Pengguna hanya perlu melayari laman web itu pada kadar yang kerap bagi memastikan maklumat yang terdapat di dalam sistem navigasi mereka sentiasa terkini dan masih boleh digunakan pada hari ini.

Sistem keselamatan yang menggunakan teknologi GPS pula membolehkan pemilik kenderaan mengetahui kedudukan kenderaan mereka secara 'langsung', sekiranya kereta mereka dicuri. Unit GPS itu lazimnya digabungkan dengan sistem penggera kereta yang akan memberikan maklumat kepada syarikat pengendali sistem keselamatan kenderaan yang dilanggan oleh pemilik kereta.

Dengan anggaran kos pemasangan antara RM1,500 hingga RM3,000, pemilik kenderaan boleh tidur lena kerana kenderaan mereka dipantau sepanjang masa.

Selain itu, pengguna juga perlu membayar yuran bulanan bagi perkhidmatan itu kepada pengendali syarikat keselamatan yang dilanggan. Sekiranya berlaku kecurian, mereka hanya perlu menghubungi pusat perkhidmatan syarikat keselamatan mereka dan mereka boleh berhubung terus dengan pihak berkuasa dengan memberikan maklumat kedudukan semasa kenderaan mereka.

Terdapat juga unit keselamatan jenis ini yang tidak memerlukan sebarang yuran bulanan kepada syarikat keselamatan. Unit jenis ini berinteraksi terus dengan pemiliknya melalui teknologi GPS dan GPRS. Pengguna hanya perlu mendapatkan kad SIM telefon selular khusus buat unit ini dan memasukkannya ke dalam unit berkenaan.

Dalam situasi kenderaan dilarikan, pengguna hanya perlu menghantar arahan berbentuk SMS kepada unit berkenaan dan ia akan memberikan kedudukan semasa kenderaan anda melalui pesanan ringkas.

Sumber - onlineprotoncar.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan