Penggunaan GPS atau Sistem Penentu Kedudukan Global untuk kenderaan mahupun individu semakin meluas di Malaysia.
Biarpun negara kita masih baru dalam penggunaan teknologi tersebut namun ia telah tersebar secara meluas di negara-negara maju di seluruh dunia.
GPS pada asalnya digunakan oleh pihak tentera, pengembara malah turut digunakan oleh jurutera mahupun para saintis untuk mengetahui kedudukan sesuatu tempat.
Teknologi ini berkembang apabila manusia berjaya menghantar satelit ke ruang angkasa bagi memerhati pergerakan bumi.
Selain itu, satelit juga digunakan untuk mengambil gambar, memerhati serta mampu berinteraksi secara terus ke bumi.
Justeru, setiap inci rupa bentuk serta pergerakan di bumi dapat diperhatikan dengan cepat, jelas serta tepat.
Kini GPS telah diolah agar lebih mudah untuk digunakan serta lebih praktikal.
Sebagai contoh, kegunaan GPS sebagai panduan bagi memudahkan perjalanan ketika memandu.
Aplikasi serta penggunaannya adalah sama seperti GPS yang digunakan untuk menentukan kedudukan oleh para pengembara dan tentera.
Cuma, ia lebih tertumpu kepada aplikasi menentukan serta menunjukkan arah jalan yang akan dilalui oleh pemandu kenderaan.
Sejarah GPS bermula pada awal tahun 1940 apabila ia dicipta berdasarkan sistem navigasi radio yang dikenali sebagai LORAN dan Decca Navigator dan digunakan secara meluas ketika Perang Dunia Kedua.
Namun impian untuk mendapatkan teknologi GPS secara lebih tepat berjaya direalisasikan apabila Kesatuan Soviet melancarkan satelit pertama iaitu Sputnik pada tahun 1957.
Jadi bagaimanakah saintis dapat menentukan kedudukan satelit di angkasa sekali gus dapat memberikan maklumat yang tepat berkenaan kedudukan kita di bumi?
Secara mudahnya, satelit yang mengorbit akan berkomunikasi dengan bumi melalui transmisi radio.
Justeru terdapat sekumpulan saintis yang di ketuai oleh Dr. Richard B. Kershner memerhati transmisi radio telah menemui Kesan Droppler (Droppler Effect).
Kesan Dropler adalah fenomena di mana frekuensi yang dipancarkan oleh Sputnik menjadi amat jelas apabila ia berada berdekatan dengan pusat kajian (atau selari dari angkasa ke bumi) dan menjadi kurang jelas apabila ia menjauh.
Justeru, saintis tersebut dapat menentukan kedudukan satelit dan kedudukan mereka dengan jelas dan tepat dengan mengukur kekuatan Kesan Droppler yang terhasil ketika satelit tersebut sedang mengorbit bumi.
Ia kemudiannya di kenali sebagai Sistem Navigasi Satelit dan Tentera Laut Amerika Syarikat merupakan pelopor penggunaan teknologi tersebut. Ia telah diuji sepenuhnya pada tahun 1960.
Kini, teknologi satelit telah berkembang pesat dan ia boleh didapati di mana-mana.
Malah penggunaannya boleh disamakan seperti penggunaan telefon bimbit dalam kehidupan seharian kita.
Contohnya GPS kereta yang digunakan secara meluas untuk menentukan jalan dan arah tuju bagi pemandu masa kini.
Ia juga lebih dikenali sebagai Penerima GPS di mana ia berfungsi dengan menerima dan mengira isyarat yang dihantar oleh mana-mana satelit yang mampu dikesan olehnya.
Setiap satelit memancarkan data berupa masa ketika pesanan dihantar, maklumat orbit yang tepat (ephermis) dan sistem umum bagi mana-mana satelit yang sedang mengorbit bumi (almanac).
Maklumat tersebut sekali gus dapat menentukan kedudukan satelit dan kembali dapat menentukan kedudukan penerima isyarat GPS.
Namun sejauh mana keberkesanan GPS khususnya untuk kegunaan pemandu kenderaan di atas jalan raya?
Teknologi GPS yang ada kini merupakan antara pemandu arah yang terbaik buat pemandu.
Namun sistem pemetaan dalam penerima GPS tersebut mesti selalu di kemaskini untuk mengelakkan ia menunjukkan laluan yang salah.
Bagi negara-negara maju, sistem pemetaan teknologi GPS dilakukan secara kerap bagi memastikan ketepatannya.
Malah ia tidak kurang juga di negara kita, gajet GPS yang digunakan juga perlu dikemaskini melalui internet.
Antara gadget yang terkenal di Malaysia adalahi Garmin, TomTom, Holux, EGO dan pelbagai lagi.
Malah aplikasi sistem GPS ini juga turut dimuatkan dalam telefon bimbit menjadikannya lebih praktikal.
Di Malaysia penggunaan sistem GPS kereta dilihat agak terhad dan masih dalam proses perkembangan.
Hal demikian kerana sistem pemetaan digital negara ini masih belum cukup sempurna.
Ia juga berikutan Malaysia masih dalam kategori negara membangun di mana sistem jalan dan bangunan sering berubah-ubah menjadikan penggunaan sistem GPS kereta agak terhad.
Namun ia masih merupakan alternatif yang amat berkesan untuk pengguna jalan raya sebagai panduan untuk mencari kawasan yang hendak ditujui.
Sumber – Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan